KUALA LUMPUR , 22 Januari - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid mempersoalkan tahap ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan pendakwaan yang didakwa dilihat lebih cenderung menyasarkan pemimpin pembangkang serta pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Beliau berkata, walaupun menyokong sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong agar gejala rasuah dibanteras hingga ke akar umbi, proses tersebut perlu dilaksanakan secara adil tanpa sebarang unsur pilih kasih.
“Benar sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong bahawa gejala rasuah harus dimusnahkan. Namun apa yang menjadi persoalan ialah ketelusan dalam tuduhan SPRM yang melibatkan pemimpin pembangkang dan pihak yang tidak pro kerajaan.
“Keadilan mesti dilihat dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sekadar menjadi alat untuk menekan pihak-pihak tertentu,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Rosol, persepsi rakyat terhadap institusi penguatkuasaan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan timbulnya keraguan terhadap motif di sebalik setiap siasatan yang dijalankan.
Beliau menegaskan, usaha membanteras rasuah tidak seharusnya dijadikan senjata politik, sebaliknya perlu dilaksanakan secara adil dan telus tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik demi memelihara integriti negara.
Dalam perbahasan sama, Rosol turut menyentuh beberapa isu berkaitan kebajikan rakyat yang memerlukan perhatian segera kerajaan, selain menuntut penjelasan berhubung status beberapa kes berprofil tinggi yang masih belum diselesaikan.